Kebangkitan negara Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Kebangkitan negara Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAN Asia 1966 atau V Asiad di Bangkok menyaksikan kebangkitan negara-negara rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 1966, sebanyak 18 negara mengambil bahagian dengan menghimpunkan 1,945 atlet.

Malaysia antara negara Asia Tenggara yang mula mempamer peningkatan selepas tuan rumah, Thailand.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam temasya yang mempertandingkan 142 acara daripada 14 jenis sukan itu, Malaysia menamatkan kempen di tangga keempat dengan tujuh pi­ngat emas, lima pingat perak serta enam gangsa.

Ini juga adalah kali pertama kontinjen negara berjaya menghuni kelompok lima terbaik Sukan Asia sejak kali pertama menyertainya pada 1954.

Penyumbang pingat emas terbesar kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia 1966 ialah olahraga yang menyaksikan legenda pecut negara, Tan Sri Dr. M. Jegathesan mula dikenali selepas mengungguli acara 100 meter, 200m dan 4x100m lelaki.

Bukan itu sahaja, Datuk M. Rajamani muncul sebagai atlet wa­nita pertama Malaysia yang berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Asia 1966 apabila meng­ungguli saingan akhir 400m.

Rajamani melepasi garisan penamat dengan catatan 56.3 saat, sekali gus menjadi rekod baharu Sukan Asia.

Dua lagi emas Malaysia disumbangkan oleh badminton menerusi beregu lelaki, Ng Boon Bee-Tan Yee Khan dan beregu campuran, Teh Kew San-Rosalind Singha Ang.

Sukan Asia 1966 dibuka secara rasmi oleh Raja Thailand, Bhumibol Adul­yadej di Stadium Suphachalasai dan pada penganjuran tersebut acara bola tampar wanita dipertandingkan buat kali pertama.

Seperti biasa, Jepun meneruskan penguasaan dalam Sukan Asia apabila muncul juara keseluruhan dengan 78 pi­ngat emas, 53 perak dan 33 gangsa.

Korea Selatan menamatkan kempen di tangga kedua kedudukan pingat keseluruhan dengan 12 pingat emas, 18 perak dan 21 gangsa.

Tuan rumah, Thailand berada di tangga ketiga dengan meraih 12 pingat emas, 14 pingat perak dan 11 pingat gangsa.

Basikal menjadi penyumbang pingat terbesar Thailand dengan enam emas, diikuti tinju (3), badminton (1), menembak (1) dan ang­kat berat (1).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini