Kapal Jho Low ‘bertukar tangan’? - Utusan Malaysia

Kapal Jho Low ‘bertukar tangan’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Indonesia bersetuju untuk menyerahkan kapal layar mewah bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan 1MDB kepada Malaysia selepas menahannya di Bali, pada awal tahun ini.

Kapal Equanimity ditahan pada Februari lalu atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah bernilai berbilion dolar yang dilancarkan oleh Jabatan Kehakiman terhadap 1MDB atau 1Malaysia Deve­lopment Berhad.

Timbalan Bahagian Jenayah Khas dan Ekonomi polis Indonesia, Daniel Silitonga berkata, kapal layar itu akan diserahkan di perairan sempadan antara Indonesia dan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami perlu mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara dan kapal itu ketika ini berada di perairan berhampiran Singapura dan Pulau Batam, Indonesia,” katanya.

Sebuah mahkamah Indonesia pada April lalu memutuskan kapal layar mewah milik Jho Low itu ditahan secara salah dan perlu diserahkan kepada pemiliknya.

Polis Indonesia menahan semula bot itu pada Julai berikutan terdapat permintaan rasmi dari AS supaya negara ini memberikan bantuan dalam siasatannya.

Pihak berkuasa Indonesia bagaimanapun tidak mendedahkan bila kapal mewah itu akan diserahkan kepada Malaysia.

Menurut sumber kepada agensi berita Reuters, keputusan me­­nyerahkan Equanimity kepada Ma­laysia dicapai ekoran permintaan peribadi yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pejabat Perdana Menteri ba­gaimanapun tidak mahu me­ngu­las pertanyaan Reuters mengenai isu berkenaan.

Mengikut tuntutan mah­kamah, Jho Low yang kini dikehendaki pihak berkuasa dan belum dapat dikesan, menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB untuk membeli Equanimity, sebuah kapal layar sepanjang 91 meter yang didaf­tarkan di Pulau Cayman.

Kapal layar mewah itu antara lain mempunyai kemudahan spa dan sauna, kolam renang sepanjang 20 meter, pawagam, lif dan juga tempat pendaratan helikopter. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×