SHAH ALAM 16 Ogos – Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat lima di balkoni rumahnya di kuarters Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.10 petang, Mohd. Badrul Amin Abdul Rahman, 11, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Bapa mangsa, Abdul Rahman Sallehuddin, 51, berkata, sebelum kejadian mangsa yang lebih manja dipanggil sebagai adik, sempat bertanyakan kepadanya siapa akan menghantarnya ke kelas tuisyen.
“Adik sempat bertanya kepada saya siapa akan menghantarnya ke kelas tuisyen, tetapi saya menyuruhnya mandi terlebih dahulu.
“Saya hanya mengetahui dia terjatuh selepas jiran mengetuk pimtu rumah dan memaklumkan perkara itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Shah Alam di sini hari ini.
Abdul Rahman yang merupakan pemandu lori memberitahu, dia kemudian bergegas ke bawah dan mendapati anak bongsu daripada enam beradik itu tidak bergerak dengan darah terkeluar dari mulutnya.
“Ketika kejadian, saya, empat adik-beradik mangsa dan ibu mertua berada di bilik masing-masing manakala isteri bekerja.
“Saya tidak pasti apa berlaku, mungkin adik ingin mengambil tuala di ampaian balkoni belakang rumah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib menegaskan, berdasarkan keterangan saksi mangsa dilihat duduk di atas tembok balkoni belakang rumah sambil tangannya mencapai sesuatu yang disidai di ampaian.
“Bagaimanapun, ampaian itu terputus menyebabkan mangsa jatuh ke bawah,” jelasnya sambil memberitahu kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.











