BUTTERWORTH 3 Ogos – Seorang jurujual hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabie terhadap seorang remaja berusia 13 tahun Disember tahun lalu.
Cheah Teow Huat, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun lapan bulan ketika itu di tingkat 4, Pacific Megamall dekat Perai pada pukul 3 petang 12 Disember lalu.
Dia turut didakwa melakukan persetubuhan di luar tabie dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan remaja terbabit di tempat dan pada masa yang sama.
Hakim Noor Aini kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 15 haribulan selain perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain dia tidak dibenarkan mendekati dengan tujuan mengganggu mangsa serta saksi-saksi pendakwaan dalam kes itu.
Mahkamah menetapkan 3 September depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE










