Jenazah Mahadzir Lokman dikebumikan di sebelah pusara ibu - Utusan Malaysia

Jenazah Mahadzir Lokman dikebumikan di sebelah pusara ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Jenazah Pengacara tersohor negara, Datuk Mahadzir Lokman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara di sini kira-kira pukul 10.10 pagi.

IDA NELIATY LOKMAN
IDA NELIATY LOKMAN

Menurut adik bongsu Allahyarham, Ida Neliaty Lokman, atas permintaan arwah, jenazahnya dikebumikan bersebelahan pusara ibunya, Datin Nina Khadijah Abdul Rahman yang meninggal pada 2013.

“Arwah abang dan ibu sangat rapat. Kalau boleh dia mahu bawa ibu ke semua tempat yang dia pergi.

“Abang menjaga ibu dengan baik sehingga dia pernah berpesan agar dia disemadikan di sebelah pusara ibu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ida juga meluahkan rasa duka kehilangan abang yang paling rapat dengannya.

“Dia seorang abang yang sentiasa menyokong kerjaya saya dalam bidang fesyen. Kami berdua mempunyai rakan-rakan yang sama.

“Sekiranya saya menganjurkan apa-apa majlis, dia tidak pernah menolak permintaan saya untuk dia menjadi pengacara majlis tersebut.

“Semalam ketika baru tiba di rumah selepas membawa pulang jenazah dari Kota Kinabalu, saya sangat sebak apabila melihat jaketnya yang tergantung di biliknya,” luahnya yang ditemui selepas selesai majlis pengebumian Allahyarham.

Majlis tersebut dihadiri lebih kurang 200 orang yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, sanak-saudara, sahabat handai, rakan-rakan media.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Kolej Islam Malaya (Masjid UIA PJ), Petaling Jaya kira-kira pada pukul 9.15 pagi .

Jenazah telah dibawa pulang dari Kota Kinabalu kira-kira pada pukul 9.25 malam semalam menaiki penerbangan Malaysia Airlines dengan menggunakan pesawat MH2639 dan tiba di kediaman keluarganya di Petaling Jaya pada pukul 2 pagi tadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN