CAMERON HIGHLANDS – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pertanian Cameron Highlands bagi menyelesaikan pelbagai masalah termasuk yang melibatkan petani.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong dan dibantu Jabatan Pertanian bagi memberi fokus terhadap masalah petani yang berlarutan sejak sekian lama.
“Antara isu dan masalah yang sering dihadapi petani di Cameron Highlands adalah isu pekerja asing, isu penerokaan tanah, isu subsidi dan insentif, isu input baja dan racun serta isu percukaian dan pemasaran.
“Melalui jawatankuasa itu, semua agensi akan dipanggil bagi menyelesaikan dan mengatasi dengan cepat masalah tersebut yang selama ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat terdahulu sehingga menyebabkan golongan petani rasa dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Wakil Persatuan Petani bersempena lawatan kerja ke Cameron Highlands hari ini. – Bernama










