KLANG 3 Ogos – Para pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis tidak perlu menukar wakil rakyat daripada parti lain.
Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebaliknya mahu para pengundi mengekalkan kerusi itu di bawah PKR sejak tahun 2008.
“Buat apa pengundi nak tukar. Selangor ketika ini baik sejak PKR mengambilalih pada pilihan raya umum tahun 2008.
“Dalam PRK DUN Sungai Kandis esok, kita ada calon yang sentiasa terus dengan perjuangan rakyat. Calon sebelah sana (Barisan Nasional) dia tidak kekal, patah-patahkan perjuangan (semasa berada dalam PKR sebelum ini),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program ceramah Grand Finale PRK DUN Sungai Kandis di Taman Sri Andalas di sini malam ini.
Hadir sama dalam program itu ialah Timbalan Presiden PKR, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta calon PKR yang bertanding dalam PRK DUN itu, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.
Sementara itu, Mohamed Azmin menyangkal dakwaan kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenepikan pembangunan Islam dan orang Melayu dalam mentadbir negara dan negeri.
Sebaliknya pembelaan terhadap Islam dan orang Melayu telah ditunjukkan sendiri dalam pentadbiran Selangor semasa pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar sebelum diterajui oleh Amirudin ketika ini.
“Walaupun ada suara kononnya kita (PH) lupa Melayu, lupa pembangunan Islam, sekat pembangunan masjid dan surau tetapi kalau kita lihat rekod kerja kita mentadbir Selangor amat baik dalam soal itu.
“Bukan sahaja orang Melayu, kita peduli orang Cina, India…kita angkat martabat dan kebajikan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










