JURULATIH Negeri Sembilan, Mario Lemos menegaskan kepada pemain-pemainnya agar lebih serius untuk berdepan saingan Piala Cabaran yang dianjurkan buat pertama kali pada Liga Malaysia (Liga M) bagi mengubati kekecewaan tersingkir ke Liga Premier musim depan.
Skuad Hobin Jang Hobin yang menduduki kedudukan tercorot Liga Super musim ini bakal berentap dengan enam pasukan Liga Premier yang terlepas saingan Piala Malaysia, manakala satu lagi slot diisi pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM FA) bagi menggantikan Kuantan FA yang digugurkan penyertaannya.
Lemos mengakui para pemainnya bakal berdepan kesukaran dan akan mengulangi kegagalan jika terus menunjukkan aksi kurang baik selepas hanya berpeluang bermain untuk tempoh satu musim pada Liga Super musim ini.
“Jika kami bermain sama seperti saingan Liga Super, pastinya Negeri Sembilan bukan dianggap sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Cabaran.
“Ia belum mencukupi untuk beraksi seperti pada saingan Liga Super, sebaliknya aksi Negeri Sembilan harus lebih berkualiti jika mahu meraih kejayaan.
“Saya sedih dengan persembahan teruk yang dipamerkan pemain hingga menyebabkan kami tersingkir ke Liga Premier musim depan.
“Realitinya, Negeri Sembilan merupakan sebuah pasukan bagus, namun jika masih meneruskan rentak sama pastinya kami bakal mengulangi semula kegagalan,” katanya ketika ditemui di Damansara Perdana semalam.
Pada masa sama, pengendali kelahiran Portugal itu memberitahu, beliau bakal menguji pemain muda Negeri Sembilan pada saingan Piala Cabaran kerana ia merupakan platform terbaik buat pasukan untuk melihat kemampuan para pemainnya.
“Saya akan memberikan peluang kepada pemain muda untuk beraksi kali ini kerana ia merupakan platform terbaik buat mereka. Sekiranya mereka mampu menunjukkan kemampuan masing-masing pastinya pemain ini akan berada dalam kesebelasan utama nanti,” ujarnya.










