JOHOR BAHRU 3 Ogos – Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) kesal dengan kenyataan Perdana Menteri terhadap Utusan Malaysia berhubung laporannya yang menghentam kerajaan.
![]() |
|
NOR AZMAN HASBULLAH
|
Ketua Penerangan Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Nor Azman Hasbullah berkata, kenyataan itu tidak wajar kerana memberi kesan negatif kepada keluhuran Perlembagaan negara yang
menjunjung kebebasan akhbar, kebebasan bersuara dan menyatakan perkara-perkara kebenaran.
“Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan negara jelas memberikan pencerahan tentang kebebasan itu dan dihuraikan dengan teliti menerusi Fasal (2), (3) dan (4) perkara yang sama.
“Apatah lagi semua itu berlaku dalam suasana kepimpinan negara yang baru memegang tampuk pemerintahan negara serta berlandaskan sokongan serta keyakinan rakyat untuk institusi dan
kebebasan pihak media terus direkayasa serta berkembang pesat.
“Malangnya harapan itu meleset dalam tempoh kurang 100 hari pemerintahan kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di bangunan Parlimen hari ini menyatakan, kerajaan tidak melarang membaca Utusan Malaysia sebagai mengulas larangan membaca akhbar itu yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan.
Surat larangan itu sebelum ini ditandatangani Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan mengarahkan langganan akhbar tersebut untuk semua bahagian agensi, sekolah, universiti, kolej dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan dibatalkan serta-merta.
Memo bertarikh 18 Julai lalu itu ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd. Gazali Abas.
Nor Azman berkata, kenyataan Perdana Menteri dan tindakan kementerian itu tidak wajar berlaku kerana mengancam kebebasan pengamal media daripada terus berkhidmat dengan
kebebasan seperti mana dilaungkan sejak sebelum merdeka.
Malah katanya, kebebasan akhbar itu jelas terpancar menerusi segala ruang lingkup perundangan yang membenarkannya beroperasi tanpa rasa takut atau memihak.
Jelasnya, selaku media perdana, Utusan berhak memainkan peranan melaporkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan melibatkan apa juga organisasi mahupun individu. – UTUSAN ONLINE











