KUALA LUMPUR 6 Ogos – Agama Islam merupakan musuh komunis paling ketat berikutan fahaman berbeza yang dijalankan pengikutnya.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ijtihad pemimpin terdahulu yang sama-sama menentang penjajah Barat dan tiba-tiba menentang komunis adalah tepat kerana menentang musuh yang lebih berbahaya hendaklah diutamakan.
Ujarnya, mereka yang menjadi mangsa kekejaman komunis diharapkan untuk mendapat kelebihan para syuhada kerana menentang musuh Islam yang lebih besar dan mereka yang berpihak kepada komunis itu diampunkan dosa kerana kejahilannya.
“Ini kerana fahaman komunis itu membunuh akidah secara ekstrem. Di sinilah saya memahami mengapa pemimpin generasi awal daripada Pas seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan lain-lain yang menentang penjajah British tidak bersama komunis ke dalam hutan. Bahkan mereka juga menyokong ISA kerana menentang komunis, bukannya menangkap ikut suka hati.
“Meskipun teorinya yang ekstrem membela rakyat yang miskin sehingga menasionalisasikan (merampas dan memilik negarakan harta) sangat menarik pemikiran ramai rakyat Asia yang tertindas, namun mereka terlepas pandang teorinya yang menolak adanya Tuhan yang dipercayai oleh semua agama, lebih-lebih lagi agama Islam yang pengajarannya mencakupi semua aspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Abdul Hadi, walaupun komunis tidak membawa tentera seperti negara Barat yang menjajah negara, komunis juga boleh dianggap penjajah yang mahu menjajah pemikiran rakyat pelbagai kaum dengan fahamannya.










