Ibu tunggal didenda RM7,000 cubaan bunuh anjing - Utusan Malaysia

Ibu tunggal didenda RM7,000 cubaan bunuh anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Seorang penjual sayur dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM7,000 kerana cubaan membunuh anjing miliknya dengan memberi roti berisi 32 batang jarum di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Ainul Shahrin Mohamed membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Latifah@Hilda Dusin, 53, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 19 Januari tahun lalu, antara pukul 2 petang hingga 8.30 malam sebagai pemilik seekor anjing kampung jantan berwarna hitam telah membenarkan kesakitan dan penderitaan yang tidak perlu kepada haiwan itu.

Perbuatan itu dilakukan di kediaman tertuduh di  No.182, Lorong Layang 2, Taman Pantai Lok Kawi, Sabindo Kinarut di Papar dekat sini.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 (1) (e) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dengan membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Dr. Zul Bahar Abdul Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang juga ibu tunggal merayu untuk tidak dipenjarakan kerana perlu menjaga anaknya dan tidak mempunyai wang untuk membayar denda.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dipenjara selama sehari dan denda RM7,000 tetapi sekiranya gagal dia berdepan hukuman penjara selama tujuh hari.

Mahkamah turut memerintahkan hak tertuduh sebagai pemilik anjing dilucutkan dan haiwan berkenaan ditempatkan di Society for The Prevention of Cruelty to Animals (SPCA) sehingga diangkat milik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN