Higuain tidak sabar ke AC Milan - Utusan Malaysia

Higuain tidak sabar ke AC Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN 2 Ogos – Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain berkata dia berharap dapat menyertai AC Milan selepas tiba di bandar kelab itu menjelang perpindahannya dari Juventus.

Sebagai pertukaran, pertahanan Itali Leonardo Bonucci akan kembali ke Turin selepas satu musim bersama AC Milan.

Ribuan peminat Higuain tiba di hotel Milan, dan media Itali melaporkan pemain tersebut akan menjalani sesi ujian kesihatan awal pagi hari ini, dengan perjanjian antara dua kelab itu hampir dicapai.

“Rasa sungguh hebat bertemu peminat di sini, namun saya juga ingin sampaikan salam kepada Juventus yang telah memberikan banyak kasih sayang.

“Esok saya akan membuat ujian kesihatan dan saya harap saya dapat menandatangani…saya harap segala-galanya berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita.

Higuain berpindah ke Juventus pada 2016 dengan nilai 90 juta euro (RM427 juta) selepas meledak 36 gol di Serie A pada semusim terdahulu di Napoli, menyebabkan ramai penyokongnya marah dan kecewa.

Pemain berusia 30 tahun itu telah memenangi gelaran Serie A dan Piala Itali dalam setiap dua musim bersama Juventus dan menjaringkan 55 gol dalam 105 penampilan dalam semua pertandingan, termasuk 40 gol sepanjang 73 kali bermain di Serie A.

Pengkritik bagaimanapun berkata dia gagal memberikan impak besar dalam pertandingan besar.

Dalam kempen Piala Dunia, dia hanya beraksi satu perlawanan, banyak turun selaku pemain gantian dan gagal menterjemahkan gol.

Higuain juga dipanggil duduk ke bangku simpanan dalam perlawanan yang menyaksikan Argentina tewas 3-4 kepada Perancis di peringkat kalah mati.

Sementara itu, Bonucci yang pernah bersama Juventus selama tujuh musim, selain membantu kelab itu memenangi gelaran Serie A sebanyak enam kali sebelum menyertai AC Milan dengan nilai 40 juta euro (RM190 juta) dalam perpindahan mengejut tahun lepas.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN