KUALA LUMPUR 4 Ogos – Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (Tekam) menjelaskan ahli persatuan berkenaan mendapat hak eksklusif sebagai majikan untuk membekal dan menguruskan pekerja warga asing ke negara ini.
Menurut Presiden Tekam, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid, pihaknya menafikan bertanggungjawab terhadap kemelut isu lambakan pekerja asing di negara ini.
“Sebenarnya persatuan kami sudah tidak dibenarkan mengambil pekerja asing sejak 2010 walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kebenaran itu sejak tahun 2005.
“Mengikut statistik, Tekam telah membawa masuk seramai 300,000 pekerja asing terutama dari Bangladesh, Nepal, Indonesia dan Filipina dan daripada jumlah itu lebih 200,000 telah dihantar pulang ke negara mereka manakala kira-kira 30,000 telah melarikan diri ketika proses pemutihan 6P oleh Jabatan Imigresen ada tahun 2010,” katanya dalam sidang akhbar sempena penjelasan mengenai masalah kebanjiran warga asing di negara ini.
Mengulas lanjut Megat Fairouz berkata, setakat ini pekerja asing yang berdaftar dan masih bekerja di negara ini hanha 5,000 sahaja. – UTUSAN ONLINE










