GAZA CITY 3 Ogos – Kepimpinan Pergerakan Hamas akan mengadakan mesyuarat luar biasa iaitu mesyuarat pertama biro politik pergerakan itu selepas mesyuarat terakhir di Kaherah pada tahun lalu.
Menurut sumber yang enggan dikenali, mesyuarat yang bakal diadakan di sini akan membincangkan beberapa isu termasuk kemungkinan mengadakan perjanjian dengan Israel.
Antara yang hadir termasuklah Timbalan Ketua Hamas, Saleh al-Arouri yang menyeberang sempadan Mesir semalam bersama-sama lapan lagi pemimpin Hamas yang berada di luar Gaza.
Kata sumber itu, Saleh menetap di Lebanon dan tidak pernah mengunjungi Gaza kerana menjadi buruan Israel namun diberi jaminan keselamatan oleh Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menangguhkan kunjungan ke Colombia ekoran spekulasi tentang perjanjian gencatan senjata yang akan dipersetujui dalam tempoh beberapa hari lagi. – AFP










