JAGUH lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail enggan melakukan kesilapan empat tahun lalu dalam misi memenangi pingat pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bermula 18 Ogos ini hingga 9 September depan.
Empat daripada enam lompatan Hakimi, 27, dibatalkan sewaktu Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan menyaksikan dia sekadar meraih tempat kelima dengan catatan 16.29 meter (m).
Malang sama menimpa pemenang dua pingat emas Sukan SEA itu pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia apabila dua daripada tiga lompatannya dibatalkan menyaksikan dia sekadar meraih tempat kesembilan dengan jarak 15.97m.
“Kadang-kadang ia berlaku disebabkan kita terlalu teruja untuk melakukan lompatan terbaik. Saya tidak boleh melakukan kesilapan pada kejohanan besar kerana prestasi dan momentum boleh terjejas jika lompatan dibatalkan.
“Kesan cukup besar buat atlet kalau satu atau dua percubaan sudah melakukan kesilapan (batal) kerana enam lompatan sememangnya cukup terhad,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Hakimi yang juga pemegang rekod kebangsaan dan Sukan SEA dengan catatan 16.77m berharap dapat memberikan prestasi terbaik agar berjaya melakukan lompatan sejauh 17m sebagai langkah selamat untuk memenangi pingat pada Sukan Asia 2018.
Bagaimanapun, atlet dari Taiping, Perak itu mengakui sukar menjangkakan catatan minimum untuk memenangi pingat kerana jarak 16.88m sudah membolehkan Troy Doris dari Guyana menjuarai Sukan Komanwel 2018.
“Sebab itu saya tidak dapat jangkakan jarak minimum untuk menang tetapi saya tetap perlu memberikan prestasi terbaik di sana nanti. Jarak 16m ke atas akan membolehkan saya ke final tetapi jika mahu menang, saya perlu melakukan catatan 17m,” jelasnya.
Sebagai rekod, dua atlet China, Cao Shuo dan Dong Bin meraih pingat emas dan perak Sukan Asia 2014 dengan catatan 17.30m serta 16.95m, manakala gangsa menjadi milik Kim Deok Hyeon dari Korea Selatan dengan jarak 16.93m.










