KUALA LUMPUR 2 Ogos – Selepas dikritik kerana menyamakan persatuan belia sebagai `macai politik’, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa pula cuba mengelirukan Dewan Rakyat selepas membuat kenyataan bercanggah mengenai Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
GPMS Selangor dalam satu kenyataan menafikan dakwaan Ahli Parlimen Muar itu kononnya pertubuhan tersebut memberhentikan jemputan program kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali selepas tidak lagi bersama kerajaan sebelum ini.
Syed Saddiq ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini mendakwa dalam perbincangan meja bulat dengan salah seorang pemimpin GPMS Selangor yang dikenali sebagai Acap memaklumkan mengenai pemberhentian jemputan tersebut.
Walau bagaimanapun, GPMS menafikan dakwaan kononnya pernah berlaku pertemuan serta kenyataan seperti dimaksudkan Syed Saddiq itu.
“Untuk makluman menteri, satu-satunya kepemimpin GPMS Selangor yang dikenali sebagai Acap ialah Muhammad Ashraf Mohd. Rozali yang merupakan Setiausaha GPMS Selangor, bermula 1 Mei 2018.
“Beliau walaubagaimanapun menafikan pernah bertemu menteri apatah lagi perbincangan dalam sidang meja bulat. Justeru, kami berharap menteri memperbetulkan kenyataan di Parlimen yang boleh dikenakan tindakan dibawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) kerana mengelirukan dan menghina Majlis serta boleh dibawa ke Jawatankuasa Hak dan kebebasan Dewan,” kata pertubuhan itu menerusi kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, GPMS Selangor mengambil pendekatan husnuzon dan menganggap ada individu tidak bertanggungjawab telah memperdayakan Syed Saddiq dan mengaku sebagai kepemimpinan pertubuhan itu. – UTUSAN ONLINE










