Fye Remli belajar kuasai watak - Utusan Malaysia

Fye Remli belajar kuasai watak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI pendatang baharu dalam dunia seni tanah air, banyak aspek lakonan yang perlu dipelajari Fye Remli bagi memastikan kualiti persembahannya dapat disampaikan dengan baik dalam apa jua watak yang dipegangnya.

 

Justeru, Fye sentiasa belajar daripada pelakon berpengalaman setiap kali menjalani penggambaran.

“Pada awalnya, menyertai dunia lakonan sekadar suka-suka. Namun, saya tidak sangka peluang semakin terbuka. Justeru, saya jadikan kerjaya ini sebagai salah satu sumber untuk saya mencari rezeki,” katanya kepada S2.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengakui perlu lebih berusaha menimba ilmu daripada pelakon lain, Fye memberitahu pendekatan yang digunakan adalah melihat sendiri cara mereka bekerja.

“Ada masanya saya bertanyakan tentang bagaimana mereka membawa watak yang diberikan dengan baik.

“Saya suka bertanyakan apa jua soalan berkaitan dunia lakonan. Selain itu, saya juga banyak menonton drama dan filem luar negara bagi meneliti bagaimana mereka menghasilkan sesuatu karya,” katanya.

Jauh berbeza dengan kehidupannya sebelum ini, Fye berkongsi pendapat. Katanya, dunia lakonan memerlukan kesabaran yang tinggi memandangkan penggambaran dilakukan tidak kira masa dan lokasi.

“Antara pengalaman yang terpaksa dilalui adalah menjalani penggambaran sehingga ke pagi. Disebabkan jadual penggambaran yang padat, kadangkala waktu tidur pun tidak mencukupi.

“Tetapi disebabkan saya bekerja dalam kumpulan yang ramai, itu membuatkan saya berasa seperti satu keluarga terutama apabila waktu makan. Kami bergotong-royong menyediakan makanan dan menikmatinya bersama. Saat itu adalah sesuatu yang mungkin tidak dapat dilupakan,” ujarnya.

Fye seterusnya berkata, menjalani penggambaran di banyak lokasi termasuk di kawasan pedalaman turut menambah warna-warni hidupnya sebagai insan seni.

Sering memegang watak antagonis, Fye turut menyimpan impian untuk membawa watak protagonis sekiranya diberi peluang.

“Mungkin saya boleh cuba bawa watak pelajar sekolah atau anak gadis. Sebelum ini, saya kerap diberi watak wanita yang berperangai diva. Jadi, saya teringin melakonkan watak seorang gadis yang baik. Kalau ada peluang dan rezeki, impian saya adalah memegang watak utama dalam drama atau filem,” katanya lagi.

Mengakui cabaran berlakon memerlukan kekuatan emosi, Fye menganggap setiap kesukaran yang dihadapinya adalah sebahagian daripada pengajaran bermakna buat dirinya.

“Apa jua perkara yang kita lakukan pasti ada cabaran, namun itulah yang mengajar saya tentang banyak hal dalam bidang lakonan. Sebagai pelakon, saya kena faham setiap situasi yang dihadapi.

“Ketika membawa sesuatu watak, seseorang pelakon perlu mahir menghayati dialog dan mampu berinteraksi dengan pelakon lain.

“Malah kita juga kena tahu bagaimana menghadapi cabaran berlakon dengan pelakon lain, terutama ketika berhadapan dengan pelakon lebih senior.

“Meskipun menggigil dan kaku, pelakon kena bijak mengawal perasaan itu,” katanya.

Selain terlibat dalam pembikinan drama, Fye juga aktif menjalani penggambaran video berdurasi seminit yang dimuatnaik dalam instagram bersama rakan-rakannya.

“Penggambaran video pendek itu juga sebenarnya memberi peluang kepada saya untuk mempelajari cara membawa watak yang berbeza. Itu juga sebahagian daripada proses pembelajaran,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×