KUALA LUMPUR 10 Ogos – Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menuntut kerajaan supaya melunaskan input cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang tertunggak kepada anggotanya sebelum cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan 1 September ini.
Menurut FMM, kaji selidik yang dijalankan bulan lalu mendapati lebih daripada 100 syarikat terbabit belum menerima bayaran balik cukai input GST berjumlah RM220 juta.
Katanya, kelewatan dalam bayaran semula itu menyebabkan isu aliran tunai yang serius dalam kalangan anggotanya terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan turut menjejaskan pengeksport.
“Jika mengambil kira 3,000 syarikat yang menjadi anggota FMM secara langsung, jumlah bayaran balik kepada pengeluar sudah tentu lebih besar. Kami berharap bayaran balik yang diluluskan itu dapat diagihkan semula kepada ahli dengan segera.
“Dalam masa sama, kami juga menggesa kerajaan supaya memastikan semua kes tertangguh berhubung bayaran balik cukai jualan khas bermula sejak era GST pada 2015 disemak semula dan ditutup sebelum SST 2.0 dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kelmarin mendedahkan akaun amanah kerajaan mengalami kekurangan sebanyak RM18 bilion dan wang tersebut didakwa hilang semasa pentadbiran Barisan Nasional yang sepatutnya dikembalikan kepada peniaga dua minggu selepas mereka memfailkan tuntutan bayaran balik GST.
Setakat 31 Mei 2018, jumlah tertunggak sejak 2015 ialah sebanyak RM19.4 bilion dan daripada jumlah itu, sejumlah RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion (2017), RM2.8 bilion (2016) dan baki RM600 juta (2015). Baki yang tinggal dalam akaun hanya RM1.486 bilion.
Semalam, Peguam Percukaian yang juga Rakan Kongsi Lee Hishamuddin Allen & Gledhill (LHAG), S.Saravana Kumar berkata, syarikat berhak membuat tuntutan semula daripada bayaran balik GST dan boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya agensi berkaitan tidak memberi maklum balas terhadap perkara berkenaan.
FMM mahu Kementerian Kewangan berbincang dengan pihak berkepentingan yang terjejas disebabkan bayaran balik GST itu bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan isu kritikal tersebut.
“Kami juga memerlukan jaminan kerajaan bahawa tidak akan ada imbangan kredit GST bagi bayaran SST pada masa hadapan,” katanya.
Bagi memastikan peralihan yang lancar daripada GST kepada SST, FMM mencadangkan pengecualian penalti bagi kesalahan yang dibuat semasa pelaksanaan awal SST.
Menurutnya, pengecualian itu sepatutnya hanya disasarkan terhadap pihak yang mempunyai niat dengan sengaja untuk menipu kerajaan.
“Untuk itu, kami berharap kerajaan supaya lebih berhati-hati dalam memantau kelemahan dan melaksanakan penguatkuasaan yang ketat terhadap aktiviti ‘ekonomi gelap’, aliran keluar modal haram dan mengelakkan cukai di bawah regim SST,” katanya.











