KUALA LUMPUR 3 Ogos – Peserta program realiti Big Stage 2018 (BS 2018), Fara Hezel, 22, berharap dapat mengelakkan dirinya menjadi mangsa penyingkiran pertama dengan mempamerkan mutu persembahan terbaik.
Bakal memberi saingan terhadap sembilan pesaing lain, kakak kepada Aiman Tino itu telah merencanakan konsep persembahan yang sesuai dengan kemampuan vokal dan personalitinya.
“Dari sudut vokal, diakui terdapat beberapa peserta yang memiliki kelantangan suara jauh lebih baik daripada saya.
“Namun, saya mengambil sikap positif untuk memberi tentangan secara sihat berdasarkan kelebihan yang dimiliki.
“Pun begitu, saya mahu manfaatkan peluang ini untuk tonjolkan sesuatu yang belum pernah diserlahkan sebelum ini,” katanya optimis.
Menurut Fara, BS 2018 adalah pentas pertandingan terbesar pernah disertai dan diharap percaturannya dalam program tersebut membuahkan hasil yang berbaloi.
Selain Fara, peserta lain yang turut bertanding ialah Tajul Arif, Sissy Iman, Ariff Bahran, Baby Shima, Syafiq Farhain, Sarah Suhairi, Andi Bernadee, Wani Kayrie dan Afieq Shazwan.
BS 2018 yang akan bermula Ahad ini dan disiarkan secara langsung menerusi di Astro pada pukul 9 malam bakal dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, manakala juri tetap pula adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza serta Faizal Tahir. – UTUSAN ONLINE










