PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyerahkan kertas cadangan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan hala tuju Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dapat diperkasakan pada masa depan.
Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang menghadiri mesyuarat bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Menteri KBS, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di bangunan Parlimen semalam.
“Kita telah berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq) untuk membincangkan mengenai hala tuju dan pembangunan NFDP. Presiden FAM telah menyerahkan beberapa cadangan dan kita akan tunggu keputusan beliau.
“Bagaimanapun, intipati cadangan tersebut tidak boleh didedahkan. Apa yang pasti, kami tidak berbincang mengenai naturalisasi atau penglibatan skuad negara pada Sukan Asia 2018 kerana pertemuan tersebut khusus membincangkan mengenai struktur pembangunan belia dan akar umbi,” katanya kepada pemberita semalam.
Sementara itu, Stuart turut mengulas mengenai insiden melibatkan skuad bawah 16 (B-16) negara yang mendapat provokasi hebat daripada penyokong Indonesia pada kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-16 yang berlangsung di Surabaya, Indonesia baru-baru ini.
“Pihak AFF dan Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) memberi kerjasama yang sangat bagus selepas insiden tersebut. Kawalan keselamatan pemain dan pegawai kami digandakan di luar stadium.
“Setakat ini, memang tiada masalah kecuali provokasi yang dilakukan oleh penyokong Indonesia di dalam stadium. Exco FAM yang dihantar ke sana, Asisten Komisioner Md. Dali Wahid juga memberikan laporan positif,” katanya.
Stuart ditemui ketika menghadiri Bengkel Kepentingan Fisioterapi Dalam Bola Sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) di Pusat Kesitahan DBC, Ampang semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden PBMM, Mohd. Firdaus Mohamed; Presiden Persekutuan Fisioterapi Dunia, Peter Halen dan Ketua Pegawai Eksekutif DBC Malaysia, Wee Hock Kee.
Mengulas mengenai program tersebut, Stuart berharap lebih banyak persatuan mencontohi langkah PBMM dalam menganjurkan kursus melibatkan sains sukan kerana ia akan memberi kebaikan kepada pasukan dan pemain tempatan.
“Ini adalah program yang cukup positif anjuran PBMM dan Pusat Perubatan DBC. Pendedahan mengenai aspek fisioterapi yang betul perlu diperluaskan supaya proses pemulihan pemain cedera dapat dipercepatkan pada masa depan,” katanya.










