KUALA LUMPUR 2 Ogos – Malaysia tidak mungkin bergelar tuan rumah kepada sukan Formula 1 (F1), walaupun jika ada usaha untuk membawa kembali sukan lumba kereta termahal di dunia itu ke negara ini, tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali.
Menurut beliau, fokus SIC pada ketika ini ialah untuk membangunkan litar tersebut serta memberi tumpuan kepada sukan pemotoran dua roda manakala membawa kembali F1 ke Malaysia tiada dalam perancangan pihaknya.
“Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam, yang mana beliau sendiri telah menyampaikan keputusan Kabinet yang menyatakan F1 tidak sepatutnya dibawa kembali ke negara ini.
“Syed Saddiq memaklumkan kepada SIC, sebanyak tiga kali usul mengenai F1 telah dibawa ke Kabinet dan buat kali ketiga juga jawapan yang sama diterima iaitu kita tidak seharusnya menjadi tuan rumah. Jadi, keputusan itu jelas dan muktamad, kita tidak akan bawa F1 ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan perlumbaan F1, yang kali terakhir dihoskan Malaysia tahun lepas, diadakan semula di negara ini.
“Mungkin,” kata Perdana Menteri ketika ditanya pemberita sama ada pemasangan lampu limpah di Litar Sepang boleh dilihat sebagai petanda perlumbaan berprestij itu akan kembali dianjurkan di situ.
Dr. Mahathir walau bagaimanapun menarik perhatian bahawa kadar pencahayaan lampu limpah yang lebih tinggi diperlukan sekiranya SIC mahu menjalankan perlumbaan pada sebelah malam.
Razlan memberitahu, kenyataan itu mungkin hadir selepas ada wartawan yang bertanyakan mengenai F1 kepada Perdana Menteri, tetapi sewaktu sesi taklimat bersama Tun Mahathir, beliau sendiri bersetuju bahawa F1 tidak seharusnya dibawa kembali kerana faktor ekonomi dan kewangan yang tidak mengizinkan.
Jelas beliau, jika adapun satu hari nanti Malaysia berubah fikiran, pihaknya meletakkan jangka masa minimum sekurang-kurangnya lima tahun dari sekarang untuk membawa pulang sukan pemotoran tersebut ke negara ini.
“Paling minimum lima tahun saya letakkan dan selepas itu, jika kita berhasrat menganjurkan semula F1, maka satu kajian terperinci perlu dilakukan kerana kita tidak mahu mengulangi kesilapan lalu. Sokongan daripada kementerian lain seperti Kementerian Pelancongan dan Kementerian Belia dan Sukan amat diperlukan,” tegasnya.
Mengulas pula mengenai Jerman yang mungkin menarik diri daripada kalendar F1 tahun depan, Razlan berkata, perkara itu mungkin tidak berlaku kerana rundingan masih berjalan dan sekiranya negara berkenaan mahu berbuat demikian mereka sekurang-kurangnya perlu membuat pengumuman setahun lebih awal seperti Malaysia lakukan untuk Grand Prix Finale.











