LONDON – England membuktikan status sebagai pasukan ranking kedua dunia apabila melayakkan diri ke pentas suku akhir Piala Dunia Hoki Wanita 2018 dengan kemenangan 2-0 ke atas Korea Selatan pada pusingan playoff awal pagi semalam.
Gol daripada Sophie Bray dan Lily Owsley pada minit kesembilan serta ke-59 di Pusat Hoki Lee Valley, London membolehkan pemenang tempat ketiga Piala Dunia 2010 itu bertemu pasukan ranking pertama dunia, Belanda pada suku akhir awal pagi esok.
Ketua jurulatih England, Danny Kerry gembira dengan persembahan anak-anak buahnya yang menguasai babak pertama berbanding aksi separuh masa kedua yang dilihat lebih seimbang buat kedua-dua pasukan.
Justeru, Kerry berharap para pemainnya dapat memperbaiki beberapa aspek terutama dari segi sentuhan penyudah jika berhasrat menewaskan Belanda yang merupakan juara bertahan kejohanan berprestij dunia tersebut.
“Kami tidak membenarkan Korea Selatan memiliki ruang selesa untuk menjaringkan gol. Corak permainan kami menerusi serangan balas pantas berjaya membuatkan mereka melakukan kesilapan dan saya gembira dengan perkara ini.
“Bagaimanapun, masih ada ruang untuk memperbaiki beberapa kesilapan selain faktor kepenatan tetapi sebagai jurulatih, saya percaya dengan kebolehan para pemain untuk menewaskan Belanda pada suku akhir nanti,” katanya.
Kali terakhir tuan rumah berjaya menewaskan Belanda ialah tiga tahun lalu sewaktu final Kejuaraan Hoki Eropah 2015 apabila menang 3-1 melalui penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 2-2. – Agensi










