Emery perlu cepat sesuai diri - Utusan Malaysia

Emery perlu cepat sesuai diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 3 Ogos – Legenda dan bekas pemain pertahanan Arsenal, Sol Campbell (gambar kecil) berkata pengurus baharu Unai Emery mesti bijak menyesuaikan diri dengan pantas untuk Liga Perdana Inggeris (EPL).

Emery, yang merupakan bekas pengurus Paris Saint Germain (PSG) dan Sevilla, mengambil alih tugas daripada Arsene Wenger pada Mei lalu dan berdepan tugas getir apabila perlu mengembalikan penguasaan kelab baharunya dalam kedudukan teratas liga selepas mengharungi kempen menghambarkan pada musim lalu.

Campbell, yang bermain sebanyak 210 kali dengan Arsenal, percaya EPL bakal memberi pe­ngalaman baharu kepada Emery yang sebelum ini pernah beraksi dalam La Liga dan Ligue 1.

“EPL semakin menghampiri anda, namun dia tidak akan ada masa untuk berehat seperti yang pernah dihadapinya dalam liga lain.

“Dia perlu menyesuaikan diri dengan tekanan, minggu-minggu perlawanan malah sesetengah pengurus akan terkejut namun dia mesti pandai membiasakan diri dengan segera,” kata Campbell.

Bekas pemain England itu juga berharap Emery akan memberi tumpuan kepada mempertingkatkan bahagian pertahanan yang selama ini menjadi ancaman.

“Emery adalah pengurus yang akan melihat sesetengah pemain dan posisi. Ada kekurangan di bahagian pertahanan. Diharapkan kekurangan itu tidak akan menjejaskan jentera serangan kerana dia akan mencari keseimbangan dalam pasukan,” katanya lagi.

Emery akan memulakan tugas pertamanya bersama Arsenal dengan menentang penyandang juara EPL, Manchester City dalam perlawanan pertama liga pada 12 Ogos ini. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN