Dua maut, dua cedera kenderaan terbabas - Utusan Malaysia

Dua maut, dua cedera kenderaan terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Seorang wanita dan anak perempuannya maut manakala dua lagi anaknya cedera selepas kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas ke dalam cerun lalu melanggar tiang elektrik di Kilometer 31, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian pada pukul 2.40 pagi itu, dua mangsa yang maut ialah Maslan Hassan, 55, yang berada di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian serta anaknya, Nur Fashiera  Mohammad Rusdi, 25, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Dua lagi anaknya, Muhammad Faiziel, 27, yang memandu kenderaan terbabit cedera parah dan seorang lagi anak perempuannya yang berada di tempat duduk belakang, Nur Farrah Ezlyn, 22, patah tangan kiri.

Keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Damansara, Kuala Lumpur untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di Kampung Rekang Hilir, Jelawat, Bachok dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu kenderaan terbabit dari arah Gua Musang ke Kuala Krai telah hilang kawalan ketika sampai di tempat kejadian.

“Kereta itu terbabas ke cerun jalan sebelah kanan sebelum melanggar tiang elektrik. Dua mangsa yang tercampak keluar kenderaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Manakala pemandu dan adiknya yang cedera mendapat rawatan di Hospital Gua Musang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN