KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencampuri urusan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dr. Mahathir turut menolak dakwaan beliau dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR mempunyai perancangan menjatuhkan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pernahkah anda melihat yang bercakap buruk tentang Anwar atau Azmin atau orang lain? Ini parti mereka. Saya tidak campur tangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pakatan Harapan di bangunan Parlimen di sini semalam.
Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak mengetahui tentang tiga rakaman audio yang dikatakan mirip Anwar yang didakwa mengkritiknya dan Mohamed Azmin dan ia tular melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam.
“Tak ada lah. Saya tak tahu, saya tak dengar pun, dia tak pernah kata pun,” kata Dr. Mahathir.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR menafikan rakaman audio tersebut adalah suara asli Anwar.
“Allah… siapa punya cong (penipuan) ni? Saya dah tanya dia (Anwar) dan saya juga pasti itu bukan suara dia,” katanya.











