BRNO, Republik Czech – Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso berjaya melakukan catatan masa terpantas pada sesi kelayakan malam tadi untuk meraih petak pertama pada perlumbaan GP Republik Czech yang berlangsung di Litar Masaryk malam ini.
Pelumba Itali itu melakukan catatan masa sepusingan 1 minit 54,689 saat (s) pada pusingan terakhir sesi kelayakan kedua biarpun pelumba Repsol Honda, Marq Marquez dilihat hampir pasti meraih kedudukan pendahulu sebelum itu.
Marquez mencatat masa 1:54,961s pada aksi pusingan terakhirnya sebelum Dovizioso dan pelumba Monster Yamaha, Valentino Rossi kembali ke litar kurang seminit sebelum waktu sesi kelayakan ditamatkan.
Rossi yang berada di belakang Dovizioso ketika pusingan terakhir itu turut melakukan catatan yang agak pantas dengan 1:54,956s tetapi terpaksa berpuas hati untuk berada di petak kedua dan Marquez berada di kedudukan ketiga.
“Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Hari ini mungkin hari yang cukup bertuah buat saya kerana jentera berada dalam keadaan yang sangat baik.
“Saya tidak menjangkakan berjaya meraih petak pertama dan melakukan catatan masa terpantas tetapi keadaan cuaca hari ini cukup sesuai dengan jentera membolehkan saya melakukan sesuatu yang sangat baik,” katanya.
Tambahnya, hasil kerja keras sepanjang minggu pasukan mekaniknya berjaya membuahkan hasil dan berharap mampu mengekalkan momentum pada perlumbaan sebenar nanti.
Sementara itu, Rossi mengakui percaturan menukar tayar sebelum keluar membuat pusingan terakhir membuahkan hasil apabila dia mampu untuk mengekori Dovizioso dan mencatat masa yang lebih baik untuk berada di kedudukan kedua.
“Keadaan suhu litar memberikan kesukaran kepada saya tetapi selepas menukar tayar untuk pusingan terakhir, cengkaman ketika di selekoh membantu melakukan catatan masa yang baik.
“Saya fikir sangat penting untuk berada di barisan hadapan pada perlumbaan sebenar nanti tetapi sudah pasti ia bukan suatu yang mudah,” jelas Rossi. – Agensi










