SEBERANG PERAI – Seorang cucu dan seorang cicit tergamak menyamun neneknya sendiri di sebuah rumah di Kampung Contoh, Bagan Ajam, Butterworth di sini kira-kira pukul 6 pagi kelmarin dengan tujuan memperoleh wang untuk membayar hutang.
Kedua-dua suspek berkenaan merupakan antara tiga wanita yang ditahan polis kira-kira pukul 1.30 petang kelmarin bagi membantu siasatan kes yang melibatkan mangsa iaitu warga emas berusia 83 tahun tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam kejadian itu, barang kemas yang dipakai oleh mangsa telah disamun ketika dia sedang tidur bersendirian di dalam sebuah bilik.
“Semasa kejadian, mangsa telah terdengar pintu biliknya diketuk beberapa kali. Dia kemudian keluar kerana menyangka anak perempuannya yang mengetuk (pintu).
“Namun, secara tiba-tiba, datang seseorang dari arah belakang terus memeluk mangsa dan mengacu pisau ke arah dadanya sebelum mengarahkan dia membuka rantai tangan serta rantai leher emas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.










