KUALA LUMPUR 3 Ogos – Meskipun belum melepasi tempoh trimester pertama, pelakon berdarah kacukan Melayu-Siam, Mawar Rashid, 23, memutuskan untuk mendedahkan lebih awal mengenai kehamilannya yang berusia dua bulan.
Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata, keputusan untuk umumkan berita gembira itu kerana tidak mahu wujud salah faham di kemudian hari.
“Keputusan ini dibuat memandangkan saya perlukan alasan kukuh untuk menolak beberapa tawaran berlakon yang diperoleh kebelakangan ini.
“Tak nak pula nanti ada pihak yang kecil hati kerana gagal memenuhi permintaan mereka yang mahukan khidmat lakonan saya,” jelasnya.
Tambah Mawar, sejak hamil, dia kerap mengalami alahan peringkat awal kandungan atau ‘morning sickness’, namun kesihatannya stabil.
Mawar mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan ahli perniagaan tinggi lampai, Raf Yaakob, 33, pada 19 November lalu dan kedua-duanya berharap bayi sulung mereka itu selamat dilahirkan ke dunia. – UTUSAN ONLINE










