SHAH ALAM 2 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam didakwa mengamalkan kempen tidak sihat kerana banyak menularkan bahan-bahan palsu atau rekaan.
Calon PKR Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni mendakwa, Lokman Noor bukan sahaja menularkan bahan palsu tetapi secara tidak langsung menyerang peribadinya berbanding membuat penawaran kepada pengundi di DUN Sungai Kandis.
“Oleh demikian, saya menyeru kepada pengundi supaya mengambil pendekatan menyemak terlebih dahulu maklumat yang diterima sebelum menyebarkannya.
“Allah SWT juga memerintahkan supaya memeriksa dengan teliti berita yang disampaikan yang mana perkataan ‘fatabayyanu’ yang bererti periksalah dengan teliti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai video perilaku seseorang dikatakan menyerupainya sedang menari yang dirakam sewaktu PRK Ijok pada 2007, Mohd. Zawawi menafikan individu tersebut dirinya, bahkan tidak tahu bila kejadian tersebut berlaku.
“Saya ada melihat video ini sepintas lalu dan jelas kelihatan individu terbabit bukan saya. Malah pengundi juga mengenali calon mereka dan tidak percaya kerana saya bukan kaki joget dan kaki kelab.
“Ini adalah bahan untuk dijadikan modal politik sahaja dan hanya mengakibatkan pengundi menyampah. Saya nasihatkan elak budaya fitnah dan biar kita bersaing dalam demokrasi yang adil dan bersih,” ujarnya.
Tambah Mohd. Zawawi, sekiranya perkara ini berterusan, pihaknya akan mengambil tindakan dengan membuat laporan polis lagi sekali seperti yang dilakukan sebelum ini.
“Saya sudah menjangka berlaku cerita bohong apabila mengambil keputusan untuk bertanding, namun tidak mengambil serius perkara yang disebarkan kerana ia adalah pembohongan,” katanya.










