SHAH ALAM 3 Ogos – Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam mengambil kesempatan pada hari terakhir kempennya untuk beramah mesra bersama penduduk setempat dengan mengadakan bacaan Yassin dan solat sunat hajat berjemaah.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 7 petang tadi sempat bermesra bersama hampir 50 orang jemaah Surau Nurul Hidayah di Teluk Menegun sebelum menunaikan solat Maghrib dan solat Isyak berjemaah di surau yang sama.
Lokman memulakan kempen sebelah malam pada hari terakhir menjelang Pilihanraya Kecil (PRK) DUN itu yang akan berlangsung esok selepas kerusi itu dikosongkan selepas penyandangnya Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu.
Beliau dijangka terus bersama penduduk dalam kawasan DUN Sungai Kandis dengan menghadiri program ‘Kenduri Rakyat’ yang diadakan di tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) berbeza.
Dijangka turut hadir pada kempen malam terakhir ini ialah bekas Menteri Kewangan Ke-2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. – UTUSAN ONLINE











