KOTA BELUD – Kejadian ribut kira-kira 10 minit yang melanda di daerah ini menyebabkan bumbung bangunan sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud di sini ranap hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagaimanapun bumbung pada aras tingkat tiga bangunan berkenaan rosak.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Maimunah Suhaibul mengesahkan kejadian berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud telah diarahkan ke lokasi kejadian.
“Kejadian berlaku ketika kesemua warga sekolah iaitu guru dan pelajar tiada di kawasan sekolah.
“Pihak PPD Kota Belud telah menghantar laporan kepada saya berhubung kejadian itu. Difahamkan, kerosakan berlaku di tingkat tiga bangunan itu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, permohonan dana kepada Kementerian Pendidikan akan dilakukan untuk segerakan proses pembaikan sekolah terbabit.
Tambahnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati hanya atap bangunan di aras tiga yang rosak manakala bumbung di bangunan lain dalam keadaan baik. – K! ONLINE










