SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) optimis mencipta kejutan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang menjadi kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut, esok.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keyakinan itu hasil kajian sikap yang dilakukan oleh jentera Puteri, Pemuda dan Wanita UMNO sepanjang berkempen yang mendapati sambutan pengundi terhadap BN memberangsangkan.
Katanya, maklum balas itu termasuk menerusi gerak kerja bertemu pengundi dari rumah ke rumah dan ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Kalah menang tidak menjadi kudis kepada Pakatan Harapan (PH). Namun sekiranya BN menang menjadi referendum rakyat Selangor amnya untuk menyatakan suara rakyat jangan dipandang enteng dan diremehkan.
“Ini susulan kegagalan PH dalam menunaikan janji manis yang telah dihidangkan mereka sehingga rakyat seluruh negara terpesona dan terpikat kepada PH dalam menubuhkan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Beliau yang merupakan Pengarah Jentera BN bagi PRK DUN Sungai Kandis berharap rakyat memberikan kepercayaan kepada BN esok.
“Saya yakin sekiranya kita bekerja lebih kuat, peratusan sokongan kepada BN akan meningkat.
“Menang belum tentu, kalah belum tahu,” jelasnya.
PRK DUN Sungai Kandis esok menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Lokman bersama calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dan calon bebas, K. Murthy. – K! ONLINE










