AWANG sama seperti ibu bapa yang lain turut bimbang dengan peningkatan kes wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara. Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 40,949 kes dilaporkan dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 12,193 kes.
Sudah ada kes kematian dilaporkan dan terdapat sekolah dan banyak taman asuhan kanak-kanak (taska) telah ditutup di beberapa buah negeri bagi mengelakkan penularan wabak ini.
Justeru Awang berharap selain pemantauan pihak Kementerian Kesihatan, setiap ibu bapa perlu berhati-hati dengan memberikan perhatian yang lebih kepada soal kebersihan dalam mengambil langkah-langkah pencegahan.
Dapatkan maklumat selengkapnya mengenai penyakit ini yang boleh didapati dalam internet. Jangan ambil remeh atau mudah tentang simptom-simptom yang terdapat pada anak seperti demam dan langkah tidak terlalu mendedahkan anak-anak di tempat-tempat awam termasuk pusat beli-belah buat sementara ini juga patut difikirkan untuk mengurangkan risiko.
Seingat Awang, penyakit jangkitan virus ini sudah beberapa kali melanda negara. Ini bermakna kita sudah ada pengalaman dalam mengambil langkah-langkah perlu. Memang mana-mana pihak tidak perlu mencetuskan rasa panik. Tapi peringatan perlu sentiasa diberikan dan perkembangannya juga perlu diketahui ramai. Ini melibatkan soal nyawa.
AWANG – Kebersihan bermula dari rumah.










