PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam mengadakan perbincangan tentang lawatan yang bakal beliau lakukan ke China dengan diplomat tertinggi negara itu, Wang Yi.
Yi yang menyandang jawatan Kaunselor Majlis Negara dan Menteri Luar China mengunjungi Mahathir di Perdana Putra dalam rangka lawatan kerja dua hari beliau ke Malaysia bermula kelmarin.
Pada pertemuan selama kira-kira 90 minit itu, Mahathir dan Yi juga mengadakan perbincangan tentang isu dua hala dan serantau di samping perkara berkaitan pelaburan serta pengangkutan.
Turut hadir Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian.
Kelmarin Yi mengunjungi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra dan mengadakan perbincangan selama hampir tiga jam tentang isu dua hala dan serantau.
Yi berkata, kunjungan beliau ke Malaysia bertujuan mengatur persiapan bersama-sama rakan sejawatannya di Malaysia berkaitan lawatan rasmi Mahathir ke China pada pertengahan Ogos ini.










