SHAH ALAM 3 Ogos – Langkah memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di Seri Setia, diyakini akan disambut penyokong parti tersebut dengan memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis esok.
![]() |
|
MOHAMAD HASAN
|
Pada masa sama, keputusan yang diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan itu juga dilihat sebagai ‘berjiwa besar’, kematangan dalam bertoleransi dan bibit-bibit ke arah penyatuan antara UMNO dengan Pas yang sebelum ini dianggap mustahil walaupun pernah berlaku satu ketika dahulu.
Malah, Mohamad secara terbuka mengakui keputusan memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di DUN Seri Setia sebagai menghargai jasa dan tanda terima kasih kepada parti itu selepas Pas terlebih dahulu mengambil ketetapan sedemikian dalam PRK DUN Sungai Kandis bagi memastikan suara pembangkang diperkasakan.
“Ini titik persefahaman antara dua parti. Rakyat akan lihat satu titik baharu dalam penyatuan. Saya sendiri akan turun nanti pada PRK Seri Setia dan telah arahkan semua ketua bahagian untuk membantu Pas.
“Kita harap Pas akan dapat memilih seorang calon yang boleh dijadikan sebagai ikon untuk membawa suara rakyat di Seri Setia ke dalam DUN Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Dalam pada itu, keputusan UMNO memberi laluan kepada Pas disambut baik Pas Selangor apabila Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi turut menghulurkan tangan sebagai tanda awal persetujuan untuk bekerjasama dalam memperkasakan pembangkang.
“Perkara ini akan dibawa ke perbincangan di peringkat negeri serta pusat dan apa-apa pun keputusannya, kita mengharapkan sesuatu yang terbaik demi kekuatan dan pembangunan Melayu Islam di Selangor.
“Lagi pun kita melihat beberapa perkara yang agak menjengkelkan terutamanya dari segi ucapan pemimpin komponen Pakatan Harapan sekali gus menjadikan titik tolak bagi UMNO dan Pas bekerjasama,” katanya sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid An-Naim Jalan Kebun, Klang.
Turut bersolat di masjid berkenaan ialah Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.











