SHAH ALAM 4 Ogos – Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemukan di sebuah hentian bas berhampiran Klinik Kesihatan di Seksyen 7, di sini awal pagi ini.
Bayi yang masih bertali pusat dan dibalut dengan kain merah jambu dan difahamkan telah ditinggalkan di hentian berkenaan sebelum ditemui seorang pemandu lori kira-kira pukul 12.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, semasa kejadian pemandu lori terbabit dikatakan dalam perjalanan ke sebuah stor syarikat kateringnya sebelum melihat satu objek yang mencurigakan.
“Apabila menghampiri objek terbabit, pemandu lori itu mendapati ia adalah seorang bayi yang masih bertali pusat. Malah terdapat kesan darah pada bayi terbabit yang dipercayai baru dilahirkan,” katanya di sini hari ini.
Tambah Baharudin, pemandu lori terbabit kemudiannya menyerahkan bayi malang itu ke pondok polis di Hospital Shah Alam (HSA) sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan oleh pihak hospital. – UTUSAN ONLINE










