Bapa maut, anak selamat selepas motosikal dinaiki langgar papan tanda - Utusan Malaysia

Bapa maut, anak selamat selepas motosikal dinaiki langgar papan tanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANOWIT – Seorang lelaki maut manakala anaknya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar papan tanda di Jalan KJD Kanowit di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.05 petang itu, mangsa, Julin Limbang, 51, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama anak lelakinya yang berusia 12 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Julau ke arah rumah mereka di Rumah Panjang Ramau Sungai Maong di sini.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di tempat kemalangan, motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh papan tanda di bahu jalan berkenaan.

“Kesan rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan pada kepala dan badannya.

“Anaknya pula bernasib baik apabila hanya patah jari kaki dan buku lalinya akibat kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Alexander menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kanowit untuk dibedah siasat.

Katanya, anak mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN