PETALING JAYA 3 Ogos – Nor Ashima Ramli atau lebih dikenali sebagai Baby Shima, 26, enggan penglibatannya menerusi program realiti Big Stage 2018 (BS 2018) dianggap sekadar pelaris semata-mata.
Malah gadis yang pernah mencetuskan kontroversi tatkala menyertai pertandingan D’Academy Asia 3 (DAA 3) di Indonesia itu menjadikan platform tersebut sebagai batu loncatan dalam memahat nama sebagai seorang penyanyi disegani.
“Saya yakin, pengalaman yang bakal diperoleh dalam program ini pasti ada perbezaan dengan DAA 3 memandangkan konsep kedua-duanya berlainan.
“Ini adalah peluang keemasan yang tidak harus saya lepaskan sama sekali untuk mengetengahkan bakat dimiliki di negara sendiri,” katanya yang mempunyai pengaruh kuat di negara jiran itu.
Menurut Baby Shima, populariti semasa yang diraih bukanlah lesen besar dalam menjamin posisi selesa untuk mara ke penghujung rancangan kerana BS 2018 diadili oleh barisan juri profesional.
Pun begitu, gadis lincah itu tidak menafikan faktor tersebut memainkan peranan tersendiri untuk mempertahankan namanya saban minggu.
Justeru, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu berharap dapat memberikan saingan terbaik kepada para peserta lain terutama tiga penyanyi yang dirasakan mempunyai vokal mantap iaitu Andi Bernadee, Sissy Iman dan Wani Kayrie.
Peserta lain yang turut bertanding ialah Tajul Arif, Ariff Bahran, Syafiq Farhain, Sarah Suhairi dan Afieq Shazwan.
BS 2018 yang akan bermula Ahad ini dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria pada pukul 9 malam bakal dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad manakala juri tetap pula adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza serta Faizal Tahir. – UTUSAN ONLINE










