WASHINGTON 1 Ogos – Pentadbiran Presiden Donald Trump merancang untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus berjumlah AS$200 bilion (RM811 bilion) terhadap barangan import dari China yang sebelum ini ditetapkan pada kadar 10 peratus.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha untuk menekan Beijing melaksanakan konsesi perdagangan, kata sumber.
Antara barangan yang terlibat ialah produk makanan, bahan kimia, aluminium, keluli, barangan pengguna seperti makanan anjing, perabot dan permaidani sehinggalah tayar kereta, basikal, sarung tangan besbol dan produk kecantikan.
Tarif berkenaan tidak akan dikuatkuasakan sehingga menerima maklum balas awam namun cadangan menaikkan kadar sehingga 25 peratus akan meningkatkan pertikaian perdagangan antara kedua-dua negara.
Kata sumber tersebut, pentadbiran Trump akan mengumumkan cadangan lebih keras hari ini iaitu rancangan pelaksanaan kadar dua kali ganda tarif yang pernah disiarkan oleh Bloomberg News.
China masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung rancangan itu.
Pada bulan lalu, Beijing mendakwa AS cuba membuli negaranya dan memberi amaran akan bertindak balas.
Para pelabur bimbang perang perdagangan antara Washington dan Beijing akan menjejaskan pertumbuhan global malah kumpulan perniagaan terkemuka AS turut mengutuk tarif agresif Trump itu.
Pasaran saham dunia semalam menyaksikan pengukuhan selepas terdapat laporan AS dan China akan berusaha menyambung perbincangan untuk meredakan perang perdagangan itu.
Wakil Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dan Timbalan Perdana Menteri, Liu He dilaporkan telah mengadakan pertemuan sulit untuk memulakan rundingan, lapor Bloomberg yang memetik satu sumber.
Awal Julai lalu, AS telah mengenakan tarif 25 peratus terhadap barangan import dari China yang bernilai AS$34 bilion (RM138 bilion) yang menyaksikan Beijing bertindak balas dengan mengenakan kadar tarif sama terhadap eksport AS ke China.
Washington juga sedang bersiap sedia untuk mengenakan tarif tambahan barangan bernilai AS$16 bilion (RM65 bilion) pada minggu akan datang. – REUTERS











