Arwah Dale teruja rakam gambar bersama - Amy Search - Utusan Malaysia

Arwah Dale teruja rakam gambar bersama – Amy Search

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Vokalis kumpulan Search, Amy menyifatkan pengacara terkenal, Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman sebagai seorang yang pemurah, suka bergurau dan baik hati.

Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 60, walaupun mereka berdua sudah lama berkawan dan berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing, sikap Allahyarham tidak pernah berubah.

“Saya dan arwah sudah lama berkawan. Kami mula berkenalan ketika beliau bekerja di TV. Mula-mula kenal, beliau menyatakan bahawa beliau amat meminat saya dan kumpulan Search.

“Sejak itulah kami mula rapat dan berkawan sehingga beliau pergi meninggalkan kita semua,” jelasnya yang ditemui ketika upacara pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini hari ini.

Mengimbas kembali pertemuan terakhir antara mereka berdua, Amy menyatakan ia adalah pada sambutan Aidilfitri dua bulan lalu.

“Kali terakhir kami berjumpa ketika sama-sama beraya di rumah seorang sahabat. Ketika itu, beliau begitu gembira dan teruja untuk bergambar bersama. Banyak gambar yang dirakamnya bersama saya dan teman-teman lain.

“Sebelum itu, saya ada melawatnya di hospital dan kami juga pernah bertemu di Jakarta. Waktu itu beliau tidak sihat namun tetap tampil dengan wajah yang ceria,” ujarnya.

Amy mengetahui pemergian Allahyarham menerusi mesej yang diberikan oleh rakan-rakan dalam aplikasi Whatsapp pada pagi semalam dan mengakui ia berita yang amat mengejutkannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN