Sebagai seorang anak, Juriah Jalalus Shuti merasakan dia sudah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak dengan menziarahi ibunya, yang berusia 75 tahun dan tinggal berseorangan hampir setiap hari.
Pernah suatu ketika dia melihat ibunya terkencing di dapur, namun menganggap keadaan itu adalah perkara biasa dan merasakan ibunya mampu menangani secara sendirian kerana dia tahu ibunya seorang yang berdikari.
Hampir enam bulan dia melihat masalah tersebut berterusan, namun mula menyedari apa yang dialami ibunya bukan sesuatu yang normal.
Dia tahu ibunya malu untuk membincangkan masalah tersebut dengan anak-anak.
Setiap hari Juriah terpaksa membersihkan lantai rumah ibunya kerana bau hancing dan kain batik yang dipakai ibunya juga perlu ditukar dengan lebih kerap kerana kebanyakan terkoyak akibat asid air kencing.
“Setelah berbincang dengan adik-beradik lain, saya ambil keputusan untuk mengajak mak tinggal bersama, namun dia menolak kerana menganggap keadaannya hanya menyusahkan saya dan keluarga.
“Berkali-kali saya pujuk, namun mak tetap tidak mengendahkan pelawaan saya sehinggalah memasuki tempoh setahun, saya sudah penat. Bayangkan setiap hari tanpa sehari pun saya tidak ke rumah mak untuk membersihkan rumahnya selepas balik daripada kerja, saya jadi putus asa.
“Saya tidak menziarahinya selama sebulan kerana merajuk dengannya. Akhirnya mak tersedar bahawa dia perlu dibantu dan perlu diuruskan sepenuhnya oleh anak-anak. Dia bersetuju untuk tinggal dengan saya,” katanya.
Perkongsian daripada Juriah itu sempena pelancaran kempen “Apa Khabar Mak Abah?” anjuran Tena dan disokong Yayasan Kontinens Malaysia.
Kempen bertujuan menggalakkan anak-anak untuk lebih prihatin dan mengambil berat tentang keadaan kesihatan ibu bapa masing-masing, terutama berkaitan masalah lemah pundi kencing atau inkontinens.
Dianggarkan satu daripada tiga wanita Malaysia berusia 40 tahun ke atas dan satu daripada 10 lelaki berusia 60 tahun ke atas mengalami masalah ini.
Sebanyak 1.4 juta rakyat Malaysia menghadapinya, namun hanya 31 peratus sahaja yang mendapatkan rawatan.
Pengarah Pemasaran Kumpulan Vinda Asia Tenggara, Evelyn Chan berkata, masalah lemah pundi kencing boleh menjejaskan pergerakan dan kualiti hidup seseorang.
Ini ditambah lagi dengan perasaan malu dan risau terhadap tanggapan buruk masyarakat membuatkan mereka tidak mahu berbincang tentang masalah ini.
“Kami komited untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman supaya mereka berasa lebih selesa untuk mendapatkan rawatan dengan bantuan anak-anak.
“Kempen Apa Khabar Mak Abah? dianjurkan agar kami dapat menggalakkan ahli keluarga terutama anak-anak untuk memerhatikan tanda-tanda atau simptom yang menunjukkan ibu bapa mereka sedang bergelut dengan masalah pundi kencing.
“Tena menyediakan maklumat serta penyelesaian holistik untuk membantu masalah tersebut bagi memberi kebebasan mereka melakukan rutin harian tanpa risau,” katanya dalam majlis pelancaran kempen Apa Khabar Mak Abah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tena menyediakan Senarai Semak Diri secara online dalam Facebook Tena Malaysia, yang tertumpu kepada beberapa perubahan tingkah laku harian ibu bapa seperti terlalu kerap ke tandas atau tidak mahu menyertai aktiviti luar rumah.











