Ahmad Faizal selesa sikap 'sempoi' - Utusan Malaysia

Ahmad Faizal selesa sikap ‘sempoi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menjadi perhatian lantaran sikapnya yang santai, serba ringkas dan sentiasa ceria atau ‘sempoi’.

Beliau mengakui sikapnya itu menerima teguran sehingga ada yang meminta beliau mengawal sikap ‘sempoinya’ itu namun menegaskan beliau tidak mahu berpura-pura dan selesa untuk kekal dengan caranya itu. Ia antara perkara yang diulas oleh Ahmad Faizal ketika wawancara bersama wartawan negeri Perak di Ipoh baru-baru ini. Dalam temubual selama lebih dua jam itu, Ahmad Faizal mengulas pelbagai isu dan perkara menjelang 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan di Perak. Wartawan Utusan Malaysia, SAYED HESHAM IDRIS dan KHAIRUL ABIDIN NUAR mengupas intipati wawancara tersebut.

 

UTUSAN: Menjelang 100 hari pentadbiran PH di Perak, sejauh mana janji manifesto telah ditunaikan?

AHMAD FAIZAL: Pakatan Harapan Perak tidak pernah sebut manifesto akan dilaksanakan dalam masa 100 hari. Namun kita komited untuk melaksanakannya dalam masa sependek mungkin seperti air percuma atau turunkan kadar tarif air. Selain itu kita akan perkenalkan kad kesihatan dan makanan iaitu kad seperti debit kad yang mana sejumlah wang akan dimasukkan dalam kad ber­kenaan. Jumlah itu digunakan di klinik kesihatan swasta selebihnya membeli barangan asas. Ini yang dijanjikan untuk golongan sasar bagi memudahkan mereka beli barangan asas seperti beras gula mi­nyak masak dan sebagainya.

Kerajaan negeri dikatakan membuat pusingan U dalam memberikan diskaun 10 peratus air kepada rakyat baru-baru ini. Apa penjelasan terhadap tuduhan itu?

Ia bukan pusingan U tapi pembetulan. Saya ada bercakap bahawa kerajaan negeri akan memberikan diskaun 10 peratus untuk pengguna tetapi saya tidak umumkan secara rasmi. Pembetulan itu dibuat selepas banyak pandangan bahawa dengan memberikan potongan air sebanyak itu ia akan menyebabkan pembaziran. Maka saya fikir kita perlu berani mengakui jika ia satu kesilapan, kita mesti berani betulkan, saya bertanggungjawab kepada rakyat kepada satu pentadbiran baik. Kalau orang nak kata U-turn, say what you like. Kita juga akan per­kenalkan skim perumahan mampu milik dengan keluasan 1,200 kaki persegi (111.4 meter persegi) pada harga RM90,000 dan akan bekerjasama dengan sebuah syarikat pemaju swasta dan harga rumah adalah hampir separuh lebih rendah dari harga pasaran. Untuk permulaan, kita sasarkan untuk membina antara 250 ke 300 unit dan ini adalah komitmen kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik untuk rakyat.

Apa komitmen kerajaan dalam isu pajakan tanah kampung baharu yang tidak setara?

Satu lagi masalah kita ialah pajakan tanah yang tidak setara. Ada kampung Melayu dapat 60 tahun, kampung baharu cuma dapat 30 tahun dan sebagainya. Saya nak bagi kenyataan hari ini bahawa saya fikir semua tanah-tanah milik kita ini perlu diberikan pajakan 99 tahun, semua sama untuk pastikan rakyat tiada masalah dengan perumahan. Ia akan diseragamkan, buat penyelarasan 99 tahun untuk semua perkampungan Cina, Melayu, India. Begitu juga hak milik tanah lombong untuk pertanian yang diteroka secara haram, kita tak boleh tengok satu perkara itu secara umum. Kalau kita tengok secara umum, kita cakap nak beri geran tanah kepada mereka, habis lah semua tanah. Kita tak boleh nilaikan secara umum, kena tengok satu persatu. Peneroka sebenarnya melakukan kesalahan sebab masuk kawasan milik kerajaan tapi kita akan perhalusi perkara itu mengikut kes, tak boleh secara umum. Kadang-kadang ada kawasan (yang diteroka) kini sudah menjadi jadi industri seperti tanaman limau tambun di Tambun dan sebahagian sudah dapat hak milik.

Apa visi lima tahun akan datang?

Saya anak Perak. Perkara yang membanggakan ialah Perak pernah jadi salah sebuah negeri terkaya, malah Ipoh bandar terbersih tetapi sekarang tiada orang sebut lagi. Malah orang sebut Perak antara negeri termiskin. We have to change that. Sebagai anak Perak kita mesti bangga, kita mesti ba­ngunan diri kira.

Antara perkara kita nak buat ialah kita mesti ada lapangan terbang antarabangsa. Untuk itu, saya nak percepatkan usaha ini dengan knock on everybody doors. Saya akan jumpa semua orang, saya nak jadi budak kecil nak barang mainan, saya akan dapatkan. Saya nak buat itu untuk Perak. Kalau ada lapangan terbang kita mesti bangunan industri pelancongan, hidupkan aero city. Kita ada jajaran lebuh raya yang begitu baik tapi malangnya orang dari Kuala Lumpur, Pulai Pinang datang cuma untuk makan di Ipoh tetapi tak bermalam di Perak.

Anda dikenali kerana bersikap santai atau sempoi. Apakah ada teguran terhadapnya dan apakah anda sedia mengubah sikap tersebut?Saya memang suka bersantai dengan sesiapa pun. Mungkin cara saya orang nampak macam tidak serius tetapi sebenarnya itu cara saya membawa diri saya sebab akhirnya cara kita membawa diri dengan apa yang kita buat itu adalah dua perkara yang berbeza. Ramai yang menasihati saya supaya kurangkan sikit cara santai itu tetapi saya fikir saya le­bih selesa untuk kekal dengan cara diri saya sendiri. Saya tak mahu jadi ‘fake’. Saya minta maaf kadang-kadang orang nampak tidak membawa imej kerajaan dan sebagainya tetapi saya memang bukan jenis yang terlalu protokol. Saya memakai songkok senget kerana saya berpandangan, itulah cara sebenar untuk memakai songkok. Cara sebenar memakai songkok ialah cara dahulu ke cara sekarang? Mestilah cara dahulu sebab songkok itu datang dari dulu. Saya ikut yang asal kerana asalnya pakai sebegitu. Orang ramai juga ada membuat lawak mengenai saya tetapi jangan terlalu stress dalam hidup kita ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN