KUCHING – Seorang lelaki dipercayai Ah Long direman tiga hari bagi membantu siasatan kes ugut terhadap peminjam di Jalan Menggris, Petra Jaya di sini Jun lalu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohd. Syukri Mokhtar terhadap suspek berusia lingkungan 30-an di Mahkamah Majistret Kuching di sini hari ini.
Suspek direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Terdahulu menurut sumber, suspek ditangkap di Jalan Hup Ke di sini kira-kira pukul 2.10 petang semalam.
Sumber berkata, suspek bersama seorang rakannya datang ke rumah peminjam bagi menagih hutang.
“Suspek sudah beberapa kali datang ke rumah untuk menagih hutang daripada peminjam sehingga peminjam terpaksa membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya.
“Hasil siasatan yang dijalankan pihak polis berjaya menahan lelaki itu yang dipercayai suspek utama dalam kes ini,” katanya. – K! ONLINE











