SHAH ALAM – Seramai 51,230 pengundi bakal menjadi penentu sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang dikuasainya sejak tahun 2008 atau dirampas oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu hari ini.
PRK DUN Sungai Kandis yang merupakan pilihan raya kecil pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni yang ditentang calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, K. Murthy yang memakai logo pen.
PRK tersebut bakal menjadi kayu ukur terhadap sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan dan BN selepas PRU-14.
Mohd. Zawawi, 48, yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun di sini merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda (Bahasa Arab) Universiti Al Azhar, Mesir dan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) Universiti Malaya pada 2005.
Sementara itu, Lokman, 45, yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkelulusan Sarjana Pengurusan dari Universiti Tun Abdul Razak dan Diploma Siyasah Syariah dan Kepimpinan Islam dari Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam.
Murthy, 60, pula merupakan pesara kerajaan.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan semua pemilih berdaftar supaya keluar mengundi awal bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi dengan seramai 789 petugas SPR akan mengawal selia 19 pusat pengudian.
Proses pengundian akan berlangsung sehingga pukul 5.30 petang.
“Kita jangka kira-kira 80 peratus pemilih berdaftar yang akan keluar mengundi esok (hari ini),” katanya.
Kelmarin, Jabatan Meteorologi meramalkan, kawasan Sungai Kandis bakal mengalami hujan pada sebelah pagi.
Keputusan PRK tersebut dijangka diketahui pada pukul 10 malam ini dan ia akan diumumkan di pusat penjumlahan undi di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19 di sini.










