SHAH ALAM – Peratusan pengundi yang keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis setakat ini ialah 49.8 peratus, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood.
Bagaimanapun menurutnya, peratusan itu merupakan angka tidak rasmi setakat ini.
“Bagaimanapun, kadar peratusan keluar mengundi itu bukan yang paling rendah dalam sejarah pilihan raya. Ini kerana, PRK DUN Penanti, Permatang Pauh pada tahun 2009, peratusan keluar mengundi adalah paling rendah iaitu sebanyak 46 peratus.
“Banyak faktor mempengaruhi penurunan peratusan pengundi. Ia mungkin disebabkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru sahaja selesai,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Undi PRK DUN N.49 Sungai Kandis di sini sebentar tadi.
Tambah Othman, walaupun SPR telah sediakan kemudahan dan war-warkan supaya para pengundi turun awal tetapi peratusan masih kurang.
PRU-14 pada 9 Mei lalu, peratusan pengundi di kerusi DUN itu mencatatkan 85.57 peratus. – K! ONLINE











