2 sahabat didakwa menyamar sebagai anggota polis - Utusan Malaysia

2 sahabat didakwa menyamar sebagai anggota polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis kepada seorang lelaki warga Bangladesh, bulan lalu.

Pemandu lori, Wan Azizul Wan Ab. Ghani, 30, dan Mazli Mohamad, 36, yang bekerja sebagai buruh binaan, didakwa bersama-sama melakukan penyamaran tersebut terhadap pekerja pembinaan, Md. Alamin Mondal, di tapak projek Astroria, Hulu Kelang, dekat sini, kira-kira pukul 4.30 petang, 20 Julai lalu.


Pertuduhan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Ilyana Zainal mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan sebelum itu mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun Wan Azizul dan Mazli yang tidak diwakili peguam pula merayu jaminan dikurangkan kerana masing-masing mempunyai tiga anak dan perlu menyara keluarga.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN