SHAH ALAM 3 Ogos – Kira-kira 1,800 peserta dari 15 negara termasuk Malaysia akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Tae Kwan Do Terbuka Antarabangsa CK di Stadium Malawati di sini dari 23 hingga 26 Ogos ini.
Antara negara-negara yang bakal menyertai kejohanan anjuran Kelab Tae Kwan Do CK dan VIP Board Sdn. Bhd. (VIP Board) dengan kerjasama Persekutuan Tae Kwan Do Dunia (WTF) serta Dewan Perniagaan Usahawan Siber Malaysia (DPUSM) itu ialah Australia, China, India dan Korea.
Presiden Kelab Tae Kwan Do CK, C.K. Karan berkata, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu Gyurugi dan Poomsae mengikut umur.
“Kategori umur paling minimum ialah sembilan hingga 11 tahun. Selain itu kategori 12 hingga 14 tahun, 15 hingga 17 tahun dan 18 tahun ke atas turut dipertandingkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Yang hadir sama ialah dan Yang Dipertua DPUSM, Shahrul Nizam Hassan.
Karan menambah, kejohanan itu kini menjadi antara pertandingan tae kwan do yang cukup dikenali dalam kalangan penggiat seni mempertahankan diri dari seluruh dunia.
“Selepas 11 edisi sebelum ini, kita komited mengekalkan kejohanan bertaraf antarabangsa ini di Selangor.
“Walaupun terdapat kekangan penajaan, kita tetap berusaha untuk menganjurkannya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif VIP Board, Sam Leong berkata, bagi menggalakkan ramai peserta dalam kalangan orang muda, pihaknya bekerjasama dengan DPUSM untuk menarik penyertaan golongan tersebut.
“Kejohanan ini diadakan bukan sekadar untuk mengaut keuntungan tetapi bagi mewujudkan tapak kepada peserta tempatan bertemu peserta luar negara sekali gus memastikan mereka mampu bersaing dengan atlet tae kwan do bertaraf dunia,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











