BACHOK – Lebih 12,000 pengunjung dijangka membanjiri Kejohanan Muaythai Kuda Merah dan Festival Motorsikal 2018 di Pantai Irama Bachok selama dua hari bermula esok.
Kejohanan dianjurkan melalui Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok serta Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) itu turut menampilkan vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie.
Pengerusi kejohanan, Rosli Yaacob berkata, penganjuran itu bertujuan untuk menarik pelancong tempatan dan luar negeri termasuk Thailand, Singapura serta Brunei.
“Penganjuran ini sekaligus dapat memperkenalkan Bachok sebagai destinasi pelancongan bagi sukan Muaythai selain mempromosikan tempat menarik-menarik di daerah ini.
“Peminat sukan tinju tempatan berpeluang menyaksikan kehebatan jaguh-jaguh sukan seni mempertahankan diri terbaik di Malaysia pada kejohanan yang cukup berprestij itu. Pihak kita juga turut mengadakan kempen-kempen kebersihan dan keselamatan,” katanya.
Beliau ditemui selepas mesyuarat kejohanan yang turut dihadiri Ketua Jajahan Bachok, Nik Mohamed Noor Ishak dan Presiden PSBNK, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani di sini semalam.
Menurut Rosli, pihaknya telah mengaturkan pertarungan hebat melibatkan 20 orang jaguh Muaythai terbaik di Malaysia bagi merebut tali pinggang kejohanan pelbagai peringkat.
Sementara itu katanya, Datuk Awie akan menghiburkan peminat khususnya penduduk di Pantai Bachok dengan persembahan dikir barat buat pertama kalinya.
“Kami mempelawa semua kelab motosikal di negara ini untuk sama-sama menyertai festival terbabit dan kami juga turut menyediakan 30 gerai jualan.
“Semua perlawanan Muaythai akan diadakan bermula pukul 8 malam manakala tiket berharga RM15 (terbuka) dan RM100 (ringside) pula boleh dibeli di melalui agen tiket kejohanan di talian 019-2932436,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya turut menyediakan tiket secara pakej iaitu bernilai RM150 untuk pakej A dan RM 65 bagi pakej B.
Katanya, pakej berkenaan membolehkan pembeli akan mendapat pas kemasukan kejohahan Muaythai, t-shirt, stiker, gelang tangan, cabutan bertuah dan makan malam bersama Datuk Awie. – K! ONLINE










