KUALA LUMPUR 12 Ogos – Sebanyak 12 rekaan Khatreena diperagakan pada KL Fashion Week (KLFW 2018) hari ini yang berlangsung di The Pavilion.
Pakaian jenama Khatreena itu adalah rekaan Sharifah Khatreena Nuraniah, puteri sulung Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Acara itu mendapat kerjasama dan tajaan lebih daripada 49 organisasi awam dan swasta disertai oleh seramai 69 pereka fesyen yang membawa jenama masing-masing.
Fesyen rekaan Sharifah Khatreena Nuraniah itu membawa tema ‘Oh Yes Pleats’ dengan konsep dan rekabentuk diinspirasikan melalui lapisan menggunakan pleats dan irgandy, kain chiffon, sutera dan net.
Tujuan utama penyertaan baginda adalah untuk pendedahan jenama dan mempromosikan fesyen yang ‘versatile’ serta juga boleh disesuaikan dengan pelbagai cara dan identiti tersendiri.
Perancangan Sharifah Khatreena Nuraniah selepas KLFW adalah untuk membuat jualan melalui online dan memperkembangkan lagi jenama ‘Khatreena’ ini ke peringkat antarabangsa.
Selain itu, Sharifah Khatreena berhasrat mengetengahkan konsep idea pemerkasaan wanita, iaitu nampak lembut tetapi sebenarnya amat kuat dari dalam.
Idea itu menurut beliau, diinspirasikan oleh wanita bekerjaya yang kuat bekerja, jadinya konsep idea ini sesuai digayakan dalam pelbagai bentuk sesuai untuk bekerja dari pagi hingga malam, dan boleh merubah reka bentuk dengan hanya ‘adding or removing a layer’.
Selain itu, tema ‘Oh Yes Pleats’ ini sebenarnya adalah untuk perlambangan wanita mampu melakukan apa sahaja dan memerlukan sesuatu fesyen yang versatile seperti wanita itu juga.
Jadinya, pada pandangan Sharifah Khatreena, wanita memerlukan sesuatu seperti jenama dan koleksi ‘Khatreena’ untuk terus bersaing dengan gaya hidup pemerkasaan wanita pada hari ini.
Di majlis tersebut, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat bercemar duli hadir.
Turut berangkat ialah ayahanda dan bonda Sharifah Khatreena, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta adinda bongsu beliau Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. – UTUSAN ONLINE










