KUALA LUMPUR 8 Julai – Setelah dikecam teruk pelbagai pihak berikutan cadangannya supaya sekolah tahfiz ditutup, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin nampaknya berkeras seolah-olah cuba mempertahankan kenyataannya sebelum ini.

Malah menerusi catatan terbaharu dalam blognya, Zainuddin turut menyenaraikan beberapa perkara yang mendorong beliau mencadangkan sekolah tahfiz terutama jenis persendirian tempatan ditutup.
Baginya, ‘provokasi’ beliau itu telah menghasilkan jawapan kepada masyarakat Islam yang semakin ramai memandang serong dan negatif terhadap sekolah tahfiz persendirian, kerana tiada pengawalan yang berkesan.
“Kejayaan sekolah tahfiz melahirkan huffaz profesional adalah terpencil. Ramai anak-anak kita akan menjadi korban dan membuang masa di sekolah-sekolah tahfiz persendirian yang masih di luar kawalan (kerajaan),” katanya dalam blognya, zamkata.blogspot.com hari ini.
Zainuddin mendakwa antara perkara yang dikatakan membelenggu sekolah tahfiz adalah penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pengendali sekolah, selain pelajar digunakan untuk menjual buku-buku agama atau mengutip derma.
Malah beliau turut menulis ‘Ibu bapa termasuk dalam kalangan profesional menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz dengan kepercayaan mempunyai seorang anak huffaz dapat membantu ‘membasuh dosa mereka’ dan jika mati, mayat tidak akan hancur’.
Beliau turut berkata, banyak tragedi telah berlaku di sekolah-sekolah agama bukan kerajaan, iaitu kebakaran, kemalangan, penderaan, hukuman dan tekanan dalam pembelajaran kerana pengajar tidak mempunyai latihan pendidikan yang sempurna dan profesional.
Zainuddin juga mendakwa pejabat-pejabat agama negeri tidak berani bertindak kerana sensitiviti agama dan menghormati golongan berjubah dan berkopiah putih.
Sebaliknya beliau berkata, pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini lebih berani mencabar pemimpin agama serta tokoh politik Islam yang tidak relevan dengan harapan mengubah pemikiran umat untuk menghadapi cabaran, bersifat dinamik dan profesional.
Pada masa sama, beliau menyambut baik pelantikan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa sebagai anggota Kabinet kerana baginya kedua-dua mereka mempunyai latar belakang akademik yang seimbang dan boleh menjadikan contoh pembinaan masyarakat Islam.










